Sunday, August 23, 2009

PENGAJIAN SOSIAL - MATLAMAT & OBJEKTIF

PENGENALAN

Kandungan Sukatan Pelajaran bidang Pengajian Sosial terdiri daripada bidang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan yang digubal bagi Kursus Persediaan Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah.Bidang ini merangkumi Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan yang mengkaji pola interaksi manusia dalam pelbagai budaya. Dalam usaha ke arah mewujudkan kesejahteraan hidup sebagai ahli masyarakat, kita perlu mengintegrasikan disiplin Sosiologi, Sejarah, Ekonomi, Geografi, dan Sains Politik untuk menjadikan pengajian ini menyeluruh dan berkait rapat dengan kehidupan manusia sejagat.

Pengajian bidang ini dapat menjelaskan kepentingan hidup bermasyarakat dengan memahami norma dan peraturan yang perlu diwujudkan serta peranan sosial yang perlu dimantapkan. Melalui bidang ini individu menyedari akan kepentingan berinteraksi secara berkesan ke arah mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab, harmonis, bersatu padu, demokratik, progresif, dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.

Pengetahuan dalam disiplin Geografi akan memperkukuhkan lagi kefahaman tentang wujudnya interaksi manusia dan alam sekitar serta kefahaman bagaimana kita perlu menjaga dan memelihara demi kesejahteraan dan mengekalkan kelestariannya untuk generasi masa depan.

Semangat patriotik dan kecintaan kepada negara perlu ditanam dan disemai dalam jiwa setiap warga negara. Pengetahuan tentang sejarah kenegaraan akan dapat membina serta membentuk jati diri yang kental. Untuk itu adalah sesuai pelajar didedahkan dengan teori Sains Politik asas untuk melihat kaitannya dengan sistem politik semasa.

Dalam mewujudkan kestabilan kehidupan, masyarakat perlu melaksanakan aktiviti ekonomi berdasarkan sumber yang terhad dan teknologi yang sentiasa bersaing. Dengan ini perlu dikaji kaitan tentang kecekapan mengurus sumber serta kepentingan memenuhi keperluan manusia yang tidak terbatas. Pelbagai jenis sistem ekonomi dan peranan kerajaan dalam menangani masalah ekonomi agar kestabilan masyarakat dapat dicapai didedahkan kepada pelajar. Kesedaran untuk mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi dan penjagaan alam akan memberi pengukuhan kepada kepentingan interaksi positif di kalangan manusia sebagai ahli masyarakat di semua peringkat.

Kursus ini juga memberi peluang untuk pelajar mengaitkan aspek teori dengan isu kontemporari yang timbul dan interaksi masyarakat dan mencadangkan beberapa cara penyelesaiannya.

MATLAMAT

Kurikulum Bidang Pengajian Sosial Kursus Persediaan bermatlamat untuk memberi kefahaman tentang perkembangan kehidupan masyarakat dalam konteks masa, ruang, ekonomi, dan politik untuk mewujudkan masyarakat harmoni, maju, dan mempunyai pemikiran rasional dalam membuat keputusan. Ini dilakukan melalui interaksi yang seimbang dengan masyarakat dan persekitarannya ke arah kesejahteraan hidup, negara, dan dunia.

OBJEKTIF

Sukatan Pelajaran Pengajian Sosial digubal untuk membolehkan pelajar:

i. menghubungkaitkan disiplin ilmu dalam Pengajian Sosial dengan kehidupan seharian individu dan masyarakat;

ii. meningkatkan kefahaman berkenaan sistem sosial melalui budaya dan nilai hidup masyarakat berbilang kaum untuk mewujudkan integrasi nasional;

iii. menghubungkaitkan sejarah perkembangan negara dengan pembinaan negara bangsa;

iv. mengaitkan kejadian alam sekitar dengan perkembangan sosial ekonomi masyarakat;

v. menjelaskan prinsip ekonomi asas dan mengaitkan aktiviti ekonomi dengan pembangunan sosial dan pembangunan negara;

vi. mengaplikasikan pengetahuan Pendidikan Alam Sekitar dalam kehidupan; dan

vii. menanam semangat patriotisme.



No comments:

Post a Comment

KAMUS FREE