Wednesday, October 14, 2009

SEJARAH KEMASYARAKATAN DI MALAYSIA

PENDAHULUAN

Kemunculan gerakan sosial dan politik di Malaysia bermula pada akhir abad ke-19. Di mana pada mulanya ia bersifat sosial, kebudayaan, kebajikan dan pada ketika itu, belum wujud lagi minat ke arah politik atau semangat kebangsaan. Persatuan, kesatuan dan kelab memainkan peranan yang penting dalam usaha menxapai sesuatu tujuan bersama. Gerakan sosial di Tanah Melayu menunjukkan kematangannya apabila ia mulai bergerak ke arah politik yang mula memperjuangkan hak-hak serta kepentingan sesuatu kaum .

Selepas Perang Dunia Kedua, gerakan politik di Tanah melayu mencapai tahap kemuncaknya. Semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu meluap-luap dan orang Cina dan India yang sebelum ini lebih berkiblatkan negara China dan India mulai memberi perhatian kepada perkembangan politik di Tanah Melayu. Mankala orang Melayu pula, dilihat semakin lantang dalam mempertahankan hak serta kepentingan mereka. Kerjasama politik mulai terjalin antara ketiga-tiga kaum utama di Tanah Melayu dan semangat kekitaan inilah yang membawa ke arah kemerdekaan Tanah melayu oada 31 Ogos 1957.

KELAHIRAN GERAKAN ORANG MELAYU

Perubahan-perubahan sosial dan ekonomi akibat daripada perluasan kuasa British pada abad ke-19 dan awal abad ke 20 telah mempengaruhi perkembangan gerakan sosial dan politik orang Melayu di Tanah Melayu. Perkembngan ini berlaku secara berperingkat dan ia melalui empat tahap iaitu tahap keagamaan ( 1906-1926 ), tahap sosio ekonomi ( 1926- 1938 ), tahap kesedaran politik ( 1938-1945 ) dan tahap selepas Perang Dunia Kedua
( 1945-1950 ).

Pada dasarnya terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan bermulanya gerakan sosial dan politik di kalangan orang Melayu. Peranan golongan agama merupakan di antara faktor pendorong kepada perkembangan awal pergerakan di Tanah Melayu. Golongan ini menggerakkan beberapa pembaharuan. Mereka pula dipengaruhi oleh gerakan reformis Timur Tengah yang diketuai oleh Muhammad Abduh. Golongan ini merupakan pelopor kepada ke arah tertubuhnya pergerakan sosial dan politik di Tanah Melayu. Mereka mendirikan madrasah-madrasah sebagai tempat menyampaikan segala penyebaran mereka di samping menggunakan pengaruh media. Mereka juga menjadikan pendidikan agama sebagai teras dalam mencapai matlamat dan tujuan mereka.

Bidang kewartawanan dan akhbar turut memainkan peranan dalam mendorong kepada perkembangan pertubuhan pergerakan politik dan sosial. Ianya menyaksikan penubuhan syarikat-syarikat akhbar dalam menyebarkan apa jua matlamat dan tujuan yang ingin disampaikan. Di antara syarikat akhbar yang ditubuhkan ialah seperti Jawi Standard dan Cahaya Pulau Pinang di Pulau Pinang, Warta Melayu di Singapura, Seri Perak di Perak dan sebagainya lagi. Dilihat juga kewujudan akhbar dan majalah sekitar awal abad ke-20 seperti Majlis, Majalah Guru, Al-Imam, Warta Malaya, Al-Ikhwan dan sebagainya lagi. Tulisan yang digunakan ialah tulisan jawi kecuali akhbar Bintang Timor yang menggunakan tulisan rumi. Peranan akhbar dan majalah dilihat penting dalam percubaan awal melapor dan mengulas keadaan yang berlaku masa kini. Ia juga sebagai penyebar maklumat dengan memuatkan berita dalam dan luar negara, menolong memajukan pelajaran anak negeri dengan menjadi alat pengajaran dan pembelajaran kerana ketiadaan buku ketika itu. Namun, sumbangan dan peranan akhbar dan majalah yang paling penting ialah sebagai alat propaganda dan pencetus minda yang lahir dari rasa ketidak puasan hati.

Perkembangan sisem pendidikan juga turut memberi sumbangan kepada penubuhan pergerakan sosial dan politik ini. Sistem pendidikan telah melahirkan tokoh-tokoh pejuang yang berlatarkan belakangkan agama, sosial dan politik. Antaranya seperti Raja Chulan, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dato Onn Jaafar, Ibrahim Yaacob dan ramai lagi. Tokoh-tokoh ini merupakan penyalur idea pembaharuan dan bertanggung jawab mengenengahkan masyarakat Melayu kepada yang lebih peka kepada sensitiviti kaum lain dan layanan Inggeris. Selain daripada itu sukatan dan dasar pendidikan yang tidak selaras yang diperkenalkan oleh Inggeris telah membangkitkan rasa tidak puas hati orang Melayu.

Pengaruh luar turut memainkan peranan dalam mendorong penubuhan pergerakan-pergerakan sosial dan politik di Tanah Melayu ketika itu. Di antaranya seperti kemenangan Jepun terhadap Russia 1905, kemenangan Jepun mengalahkan British dalam perang dunia ke-2, perjuangan Mahatma Ghandi, Sukarno dan Hatta dalam membebaskan diri dari penjajahan. Ini telah mencetuskan kesedaran bahawa bangsa Eropah bukanlah kebal sebaliknya boleh dikalahkan. Pengaruh gerakan reformis Timur Tengah pula menggalakkan pelajar berkiblatkan ke Timur Tengah serta menggunakan agama dalam perjuangan mereka membebaskan diri daripada penjajahan.

GERAKAN KEAGAMAAN

Peringkat keagamaan telah dimulakan oleh penuntut-penuntut di Timur Tengah. Mereka yang dipanggil Kaum Muda ini merupakan pencetus kepada kesedaran awal politik masyarakat Melayu sekali gus pengasas kepada bermulanya gerakan-gerakan politik di Tanah Melayu. Keadaan pendidikan di Tanah Melayu ketika itu ialah menggunakan Sistem Sekolah-sekolah Pondok. Apabila tamat pengajian ramai yang telah meneruskan pengajian ke Timur Tengah samaada ke Mekah ataupun Mesir. Iaitu tempat berkumpulnya ulama-ulama terkenal seperti Sheikh Ahmad Khatib, Abdul Malik Abdullah, Muhammad Arshad Al-Banjari, Daud Al-Fatani dan lain-lain lagi. Ulama-ulama inilah yang membentuk pemikiran pelajar-pelajar ini dengan idea-idea kearah semangat kesedaran.

Selain daripada itu Kaum Muda juga turut dipengaruhi oleh beberapa gerakan di dunia seperti gerakan pembaharuan di Mesir oleh Sayyid Jamaluddin al-Afghani, gerakan Wahabi oleh Muhammad Abdul Wahab di Mekah, pengaruh ajaran Waliullah di India dan gerakan Turki Muda. Apabila pulang ke Tanah Air, Kaum Muda kemudiannya berperanan menyebarkan pemikiran baru mereka melalui penubuhan institusi-institusi agama atau dipanggil madrasah dan juga melalui suara-suara media seperti melalui majalah Al Imam, Neracha, Tunas Melayu, Seruan Azhar dan banyak lagi. Melalui majalah-majalah dan madrasah ini diseru agar umat Islam terutama orang-orang Melayu bangkit dari lena, lalai dan sesat. Antara yang diseru dan ditekankan ialah agar umat Islam mementingkan ilmu agar tidak mudah dikuasai oleh orang lain, menyeru masyarakat Melayu meningkatkan diri dengan mendalami ilmu dalam bidang teknologi agar dapat meninggikan maruah bangsa terutama apabila bersaing dengan bangsa lain.

Kritikan-kritikan juga ditujukan kepada pemerintah-pemerintah, para pembesar dan raja-raja agar tidak lalai dengan tanggung jawab mereka. Terdapat juga artikel-artikel yang menyentuh soal-soal penjajahan dan bagaimana masyarakat Melayu harus membebaskan diri dan negara mereka dari belenggu “penjajah yang rakus” yang hanya tahu mengeksploitasi hasil negara ini dan meninggalkan masyarakat Melayu ketinggalan terutama dalam bidang ekonomi berbanding dengan bangsa lain.

Namun kehadiran dan pemikiran Kaum Muda ini ternyata tidak disenangi oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan ulama konservatif. Mereka menganggap Kaum Muda menyeleweng dari ajaran Islam, berfikiran kritis dan demokratik yang dikatakan berasal dari barat. Walaupun gerakan kaum muda ini bukanlah merupakan kemuncak kepada kesedaran gerakan politik di Tanah Melayu, namun ia berjaya membentuk satu tenaga penggerak baru dalam masyarakat Melayu. Idea-idea pembaharuan mereka bukan sahaja meliputi bidang agama tetapi juga hal ehwal masyarakat, ekonomi dan politik yang kemudiannya menjadi pemangkin kepada gerakan-gerakan politik di Tanah Melayu.




TAHAP SOSIOEKONOMI 1926-1938

Di sekitar 1926, gerakan sosial orang Melayu telah menjadi lebih secular dan tumpuan diberikan kepada kedudukan sosioekonomi orang Melayu. Tekanan ekonomi dari kaum-kaum pendatang khususnya Cina dilihat mengancam kedudukan sosioekonomi orang Melayu.

Justeru itu, pada tahun 1926, lahir satu gerakan sosio-politik Melayu yang dilihat lebih tersusun organisasinya . Sebilangan orang Melayu yang berpendidikan Inggeris telah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura ( KMS ) pada 14 Mei 1926 di Singapura. Ia diasaskan atas kesedaran betapa terancamnya nasib orang Melayu di Singapura berbanding bangsa-bangsa lain . Di antara yang diperjuangkan oleh KMS ialah memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu Singapura, menggalakkan orang Melayu Singapura melibatkan diri dalam lapangan politik, pentadbiran dan urusan umum, menuntut ilmu ke peringkat tinggi, saling bekerjasama dan sebagainya lagi. Kejayaan besar KMS ialah menuntut daripada British agar diperuntukan sebidang tanah khas untuk orang Melayu Singapura. Dalam banyak hal KMS merupakan juru cakap orang Melayu Singapura dan selalu berhubung dengan pemerintah British.

Lantaran itu, pembukaan KMS dilihat sebagai perintis kepada beberapa kesatuan-kesatuan di negeri-negeri di Tanah Melayu. Antaranya ialah Kesatuan Melayu Melaka ( (1937 ), Kesatuan Melayu Perak ( 1937 ), Kesatuan Melayu Pahang ( 1938 ) dan Kesatuan Melayu Negeri Sembilan (1938). Walau pun ada di antara persatuan Melayu ini mempunyai pendekatan politik dan sosial namun semuanya masih mempunyai satu tujuan dan satu matlamat iaitu memberi tumpuan kepada nasib orang Melayu terutama dalam bidang sosial dan ekonomi, agar bangsa Melayu tidak menjadi satu bangsa yang akan ketinggalan berbanding kaum lain selain memastikan bangsa Melayu tidak diperkecilkan kebolehannya. Antara yang diperjuangkan oleh mereka ialah meninggikan taraf pendidikan iaitu agar pembelajaran di peringkat menengah dapat diperluaskan lagi supaya orang Melayu dapat meningkat diri mereka terutama dalam bidang ekonomi. Mereka juga mendesak pihak British agar orang Melayu diberi peluang dalam soal-soal pentadbiran.

Persaudaraan Sahabat Pena (PASPAM) adalah satu lagi pertubuhan sosial yang wujud di Tanah Melayu. PASPAM diasaskan oleh majalah saudara pada 7 April 1934. Namun PASPAM lebih dikenali sebagai pertubuhan kesusasteraan Melayu. Melalui PASPAM kepentingan bahasa ditekankan di kalangan orang Melayu. Perjuangan PASPAM adalah sama seperti persatuan Melayu, Cuma PASPAM menyalurkan segala idea dan kehendaknya melalui akhbar iaitu majalah saudara. Banyak diadakan persidangan-persidangan di Singapura, Pulau Pinang Ipoh dan Seremban untuk membincangkan masalah dan strategi-strategi untuk meningkatkan sosio-skonomi orang Melayu.

TAHAP KESEDARAN POLITIK 1938-1945

Perjuangan politik orang Melayu mulai jelas pada tahun 1930-an dengan terbentuknya Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) di Kuala Lumpur pada Mei 1937 . Ia merupakan parti politik Melayu radikal yang pertama di Tanah Melayu. KMM diasaskan oleh Ibrahim bin Haji Yaakub seorang bekas penuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris ( MPSI ) dan pembentukkan KMM dilihat sebagai aspirasi sekumpulan bekas penuntut MPSI dalam menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya mempertahankan hak serta kepentingan mereka.

Sebagai sebuah parti yang radikal, KMM mengamalkan prinsip anti British dan tidak mengakui taat setia kepada sultan yang dianggap gagal mempertahankan hak orang Melayu dan merupakan punca kepada kemunduran orang Melayu. KMM turut mempunyai perasasn anti bangsa lain yang dianggap memonopoli ekonomi serta menindas orang Melayu di Tanah Melayu. Lantaran itu, KMM memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu untuk orang Melayu sahaja dan bercadang untuk menggabungkan semua orang Melayu dalam usaha mempertahankan, melindungi dan meperjuangkan kepentingan bangsa Melayu agar ia tidak mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain. Kmm juga bergabung dan Indonesia untuk mewujudkan Indonesia Raya dan Melayu Raya di Asia Tenggara. KMM pimpinan Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad ini tersebar luas dan berjaya dikembangkan ke negeri-negeri lain. Namun KMM tidak begitu mendapat sambutan daripada orang Melayu kerana ia diangggap terlalu radikal dan gagal mendapat sokongan dari golongan birokrat yang menguasai pemikiran umum ketika itu.
Menjelang Perang Dunia Kedua, pemimpin-pemimpin KMM telah ditahan British dan mengakibatkan pergerakkan terhenti seketika. Sehingga Perang Dunia Kedua, KMM masih tidak menunjukkan sebarang bentuk kegiatan yang aktif.

Namun begitu, kejayaan Jepun menawan Tanah Melayu dan Singapura telah membolehkan KMM dihidupkan semula setelah para pemimpin yang ditahan dibebaskan. KMM yang bekerjasama dengan Jepun menyedari harapan bagi memerdekakan Tanah Melayu adalah tipis dan ia telah mengadakan hubungan dengan PKM melalui MPAJA .
Kegiatan KMM ini telah dikesan oleh Jepun lalu KMM diharamkan dan satu organisasi tentera yang bergelat Pembela Tanahair ( PETA ) dan diketuai oleh Ibrahim Yaakob sebagai Leftenan Kolonel . Tujuan utamanya ialah untuk mengumpul sukarelawan yang akan diberi latihan ketenteraan sebagai persiapan menentang British sekiranya mereka datang semula ke Tanah Melayu .

Menjelang kekalahan Jepun, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjang ( KRIS ) ditubuhkan pada Julai 1945. Ia merupakan satu langkah persediaan bagi penggabungan Tanah Melayu dengan Indonesia bagi pembentukkan Melayu Raya . Malangnya usaha itu tidak kesampaian apabila Jepun menyerah kalah secara mengejut setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom.

SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Selepas Perang Dunia Kedua, kesedaran baru dan semangat kebangsaan merebak dengan begitu cepat. Hasil dari pertubuhan yang sebelum ini telah mempengaruhi pertubuhan parti politik yang baru. Semuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu menyingkirkan pemerintahan British dan mendirikan sebuah negara yang merdeka.

Pada peringkat awal wujud semangat kebangsaan dikalangan pelajar-pelajar Melayu lalu menubuhkan kesatuan mereka sendiri seperti Persatuan Penuntut Melayu Selangor, Pelajar Melayu Insaf, Persatuan Pelajar Islam dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Namun kegiatan mereka hanyalah setakat melaung-laungkan semangat kemerdekaan.

Dalam masa yang sama terdapat parti-parti politik sayap kiri dan berfahaman sosialis. Di antaranya ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di bawah pimpinan Mokhtaruddin Lasso yang berfaham komunis dan Ahmad Boestamam yang berfahaman kebangsaan. Mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu membebaskan negara dari cengkaman penjajahan dan menubuhkan sebuah negara yang merdeka. Di antara tujuan PKMM ialah ingin menyatupadukan bangsa Melayu, mencapai hak kemerdekaan, memajukan penghidupan sosio-ekonomi orang Melayu, memberi kebebasan kepada orang Melayu untuk memperbaiki hidup mereka, bergabung dengan Indonesia mewujudkan Melayu Raya dan sebagainya lagi. PKMM pernah bergabung dengan UMNO dan AMCJA pada 1949 namun terdapat perselisihan antara mereka. Usaha PKMM menanam fahaman komunis di kalangan orang Melayu tidak berjaya. PKMM akhirnya semakin lemah dan ramai pemimpinnya telah di tangkap.

Terdapat dua lagi parti politik berfahaman kiri lanjutan dari PKMM iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). API dan AWAS seperti PKMM inginkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu dan menyingkirkan penjajah dengan segera, Namun perjuangan mereka yang terlalu radikal menyebabkan kedua parti ini diharamkan pada tahun 1948 .

UMNO atau United Malays National Organization merupakan parti untuk orang Melayu yang ditubuhkan dan kekal hingga kini. UMNO ditubuhkan pada bulan 12 Mei 1946. UMNO pada asalnya ditubuhkan untuk menentang gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British. Di antara matlamat utama penubuhan UMNO ialah ingin menyatupadukan orang Melayu, memelihara kepentingan orang Melayu, memperbaiki taraf hidup mereka dan sebagainya. UMNO terus- menerus mengadakan rapat umum di seluruh negara untuk menentang Malayan Union. UMNO ternyata mendapat banyak sokongan. Keahliannya semakin bertambah dari sultan hinggalah kepada golongan petani. Menjelang 1947 UMNO melahirkan benderanya sendiri dan menukar slogannya dari Hidup Melayu kepada Merdeka. UMNO juga telah melahirkan pergerakan Wanita UMNO. UMNO terus mendapat sambutan dari masa ke semasa. Keahliannya telah meningkat seramai 100, 375 orang dan telah mempunyai 39 bahagian di akhir 1950. UMNO telah muncul sebagai sebuah parti politik berhaluan kanan terbesar yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

ORANG CINA DI TANAH MELAYU

Sejarah kedatangan imigran Cina ke Tanah Melayu telah bermula sebelum Zaman Kesultanan Melaka lagi. Di mana pada abad ke 6, ada catatan yang menyatakan bahawa orang Cina yang terdiri daripada golongan pedagang telah sampai ke Kerajaan Tun Sun
( Johor ) tetapi bilangannya adalah kecil . Pada awal abad ke 15, hubungan perdagangan dan diplomasi yang baik antara Kerajaan China dan Kesultanan Melaka telah membawa kepada pembukaan penempatan orang Cina di Tanah Melayu. Nanum begitu, penempatan ini hanya terhad di Melaka sahaja. Kewujudan penempatan-penempatan ini telah menyaksikan kelahiran golongan Baba Melaka atau Cina Peranakan yang majoritinya berasal dari wilayah Fukien, China . Sebagai antara imigran Cina yang terawal, golongan Cina Peranakan mendominasi perniagaan di Tanah Melayu khususunya di Negeri-Negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Misalnya pada tahun 1819, pembukaan Singapura menyaksikan saudagar-saudagar Baba yang kaya telah berpindah ke Singapura dan menguasai perniagaan lada hitam dan gambir di Singapura dan Johor.

Pembukaan Pulau Pinang pada 1 Oktober 1786 dan Singapura pada 1819 merupakan titik tolak kedatangan imigran Cina ke Tanah Melayu dengan lebih ramai lagi. Ia semakin jelas menjelang tahun 1820 di mana pada tahun 1820, terdapat 83000 orang Cina di Pulau Pinang manakala pada tahun 1822 terdapat 1150 orang Cina di Singapura dan menjelang 1824, pupulasi orang Cina di Singapura berjumlah 31% ( 3,317 orang ) dan ia terus meningkat kepada 46% pada tahun 1860 iaitu berjumlah kira-kira 28,018 orang . Mulai pertengahan abad ke-19, orang Cina telah berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu akibat daripada pembukaan lombong bijih timah. Mereka bertumpu di kawasan-kawasan yang kaya dengan hasil timah seperti Larut, Kinta dan Selangor. Pada tahun 1850, hanya terdapat tiga orang Cina di Larut dan menjelang tahun 1872, ia meningkat kepada 40,000 orang dalam tahun 1901. Manakala di Kinta pula, pada tahun 1882, hanya terdapat kira-kira 4,000 orang Cina sahaja tetapi menjelang tahun 1888 ia menjangkau 38,000 dan pada 1889 orang Cina telah mendominasi Daerah Kinta dengan seramai 44,790 orang berbanding hanya 10,291 oarng Melayu, 69 orang Eropah dan 847 lain-lain bangsa . Menjelang tahun 1901, orang Cina membentuk 46% daripada populasi di Perak dan 65% populasi di Selangor .

Kebanjiran imigran Cina di Tanah Melayu dipengaruhi oleh sistem pentadbiran British yang memperkenalkan pembangunan ekonomi kapitalis yang menggalakkan pertumbuhan penduduk dan buruh . Menjelang tahun 1875, pihak British berjaya memulihkan keamanan di Peark, Selangor dan Sungai Ujong yang kaya dengan bijih timah. Pemerintahan Inggeris telah memberi jaminan keselamatan harta dan nyawa. Ini mendorong orang Cina berhijrah ke Negeri Melayu tersebut. Di samping itu, kesengsaraan sosial dan ekonomi turut memaksa para petani Cina untuk berhijrah keluar untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Pertambahan penduduk yang tidak dapat diseimbangi dengan tambahan kawasan pertanian mengakibatkan kemiskinan dan ia diperburukkan lagi dengan bencana alam yang melanda . Di samping itu, keadaan politik yang tidak stabil pada abad kesembilan belas menyaksika tercetusnya beberapa pemberontakan menentang Dinasti Manchu. Ia mengancam nyawa dan harta benda penduduk yang terpaksa berhijrah. Lantaran itu, boleh disimpulkan bahawa dasar Inggeris , pembukaan lombong bijih timah dan beberapa masalah dalaman Negara China telah mendorong penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu.

Dalam memperlihatkan trend kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu sebelum Perang Dunia kedua, boleh dikatakan bahawa tujuan mereka hanyalah semata-mata untuk mencari rezeki dan tidak berhasrat untuk menetap dalam tempoh masa yang lama. Malahan polisi Inggeris ketika itu turut mempunyai tanggapan yang sama, di mana imigran Cina dianggap sebagai penduduk asing dan tidak mempunyai hak atau keistimewaan seperti yang dinikmati masyarakat tempatan .

PERKEMBANGAN GERAKAN SOSIAL

Kedatangan imigran Cina ke Tanah Melayu telah membawa bersama-sama mereka warisan kebudayaan dan tradisi yang berbeza dengan masyarakat tempatan. Mereka lebih bersikap menyendiri dan tidak menjalin hubungan yang rapat dengan masyarakat tempatan. Imigran Cina juga dilihat agak keberatan untuk memberi kesetiaan kepada institusi - institusi tempatan sebaliknya memperkuatkan ikatan dengan negara asal mereka . Keadaan ini sedikit sebanyak memberi masalah kepada Inggeris dan masyarakat tempatan. Ketiadaan polisi pemerintahan yang berkesan bagi mengawal aktiviti dan kebajikan sosial golongan imigran ini telah membawa kepada kewujudan persatuan-persatuan untuk menjaga kebajikan dan menyelaras kehidupan masyarakat Cina yang rata-rata datang ke Tanah Melayu sehelai sepinggang tanpa kenalan mahupun saudara. Dalam persekitaran yang asing ini, mereka berada dalam satu ‘kejutan budaya’ yang amat memerlukan mereka menyertai pertubuhan atau persatuan yang berfungsi dalam membantu, melindungi serta mempertahankan kepentingan bersama.

Pada peringkat awal, konsep persatuan yang dibentuk bertujuan untuk menjaga kebajikan anggotanya dan ia lebih menumpukan kepada usaha-usaha untuk memperbaiki taraf sosial dan ekonomi ahlinya. Persatuan-persatuan ini kemudianya membentuk kelompok-kelompok tertentu dan ia bergiat dalam bidang politik dan terus merosot menjaga kumpulan yang cenderung ke arah jenayah seperti merompak, menganjurkan pemogokan dan rusuhan .

Sistem Kapitan Cina diperkenalkan oleh Portugis setelah menawan Melaka pada 1511 . Kapitan Cina merupakan ketua masyarakat Cina yang dilantik bagi mengawal aktiviti serta kepentingan masyarakat Cina. Mereka dilihat sebagai perantaraan di antara kerajaan dengan orang Cina. Sistem ini diteruskan selepas pengambil alihan Melaka oleh Belanda pada tahun 1940. Manakala Inggeris pula terus menggunakan sistem Kapitan Cina di Negeri-negeri Selat sehingga tahun 1826 . Ia diperlukan bagi menghadapi perkembangan imigran Cina yang semakin pesat menjelang pertengahan abad yang ke 19. Di samping Negeri-negeri Selat, sistem Kapitan Cina turut digunakan di Negeri-negeri Melayu yang masih dibawah kekuasaan Sultan Melayu. Di mana Kapitan Cina akan dilantik oleh sultan bagi mengawal kegiatan, penempatan serta menyelesaikan pertelingkahan antara imigran Cina dan ia berterusan sehingga tahun 1901 . Antara Kapitan Cina yang terkenal dalam sejarah Tanah Melayu ialah Yap Ah Loy yang muncul sebagai Kapitan Cina di Kuala Lumpur pada tahun 1868.

Kongsi gelap merupakan satu aspek sosial orang Cina. Ia adalah warisan daripada perkembangan di China. Kongsi-kongsi gelap telah ditubuhkan untuk mengguling Dinasti Manchu dan menghidupkan semula Dinasti Ming. Menurut V. Purcell, kongsi gelap di Tanah Melayu berasal dari Tian Ti Hui yang digelar Triad Society . Di Tanah Melayu orang Cina telah menubuhkan kongsi-kongsi gelap selepas British menduduki Pulau Pinang ( 1786 ) dan Singapura (1819). Sejak tahun 1799 lagi, kongsi-kongsi gelap Cina telah mula menentang pentadbiran British di Pulau Pinang . Kegiatan kongsi-kongsi gelap ini dikatakan berusaha membentuk ‘empayar dalam empayar’ yang ingin menikmati faedah pemerintahan British dan dalam masa yang sama, mengabaikan undang-undang yang didapati tidak sesuai dengan mereka . Menjelang 1875, terdapat 4 kongsi gelap di Tanah Melayu, iaitu kumpulan Ghee Hin , Ho Seng, Hai San dan Wah Sang .
L.A Mills dalam British Malaya !824-1867, menganggap kongsi-kogsi gelap di Negeri-negeri Selat sebagai the Pirates and Robbers Co-operative Association . Ini kerana sebahagian besar anggota kongsi gelap terdiri daripada penjenayah yang terlibat dalam rusuhan, pergaduhan, kegiatan perjudian, rompakan dan pelacuran. Mereka dilihat sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan sering bersaing dalam menguasai sesuatu kawasan khususnya kawasan bijih timah. Di Larut misalnya, pertelingkahan anatara Ghee Hin dan Hai San telah mencetuskan Perang Larut sebanyak tiga kali iaitu Perang Larut I
( 1861 ), Perang Larut II ( 1865 ) dan Perang Larut III ( 1872 ).

Kajian-kajian yang dijalankan mendapati bahawa penubuhan kongsi-kongsi gelap di Tanah Melayu khususnya di Negeri-negeri Selat diakibatkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah kewujudan kegiatan kongsi gelap di China Selatan yang bertujuan untuk menggulingkan Dinasti Manchu. Apabila imigran Cina yang terdiri daripada bekas anggota kongsi gelap berhijrah ke Tanah Melayu, mereka telah membawa bersama budaya tersebut ke sini. Orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu berasal dari wilayah-wilayah yang berlainan dan terdiri daripada pelbagai suku yang berbeza dan mewarisi bahasa serta budaya yang tidak sama. Faktor ini ditambah dengan persekitaran yang baru menyebabkan golongan imigran ini menyertai kongsi-kongsi gelap yang seketurunan bagi tujuan perlindungan dan bantuan bersama. Ia penting memandangkan kegiatan kongsi gelap bukan sahaja terhad kepada aktiviti jenayah sahaja malah mereka juga dilihat sebagai persatuan kebajikan dan sosial yang membantu ahli-ahlinya yang berada dalam kesusahan, menguruskan pengkebumian ahli keluarga anggotanya dan turut ,membantu dalam mencari pekerjaan kepada ahlinya yang baru tiba dari Negara China.

Memandangkan masalah serta kekacauan yang sering ditimbulkan olah kongsi-kongsi gelap, British mulai mengambil tindakan tegas dalam mengawal kegiatan tersebut menjelang tahun 1867. Di mana Akta Pendaftaran Pertubuhan 1867 dikuatkuasakan yang mewajibkan semua pertubuhan menyenaraikan semua nama anggotanya yang memegang jawatan dalam pertubuhan tersebut dan menyatakan tujuan persatuan mereka beroperasi. Ia telah diperkukuhkan lagi dengan Ordinan Pertubuhan 1889 yang dikuatkuasakan pada tahun 1890 yang mengharamkan semua kongsi-kongsi gelap Cina . Ia mewajbkan semua persatuan Cina menbuat pendaftaran sebelum menjalankan kegiatan mereka dan ia dilihat berkesan dalam mengawal kegiatan kongsi gelap dan yang terpaksa meneruskan kegiatan mereka secara rahsia dan budaya tersebut dilihat masih wujud hingga ke hari ini.

Hua Tuan atau persatuan Cina telah mengambil alih peranan dan kepimpinan kongsi gelap selepas tahun 1867 . Ia dilihat berperanan dalam menjaga kepentingan sosial dan rekreasi ahli-ahlinya. Antara aktiviti-aktiviti yang sering dianjurkan oleh Hua Tuan adalah upacara penyembahan nenek moyang, penyelarasan kawasam perkuburan, menyelesaikan pertelingkahan yang melibatkan komuniti Cina dan membantu ahlinya yang ditimpa bencana. Hua Tuan yang terawal adalah berasaskan dialek dan wilayah, ia terbentuk di Negeri-negeri Selat seawall 1810 dan Negeri-negeri Melayu yang lain disekitar 1850 .

Persatuan dialek dan keluarga merupakan Hua Tuan yang paling popular. Di mana wujudnya persatuan yang ditubuhkan khas untuk orang Cina daripada wilayah yang sama dan mempunyai bahasa serta kebudayaan yang homogen. Misalnya Persatuan Kwangtung yang dianggotai oleh orang Cina yang berasal dari wilayah Kwangtung dan bertutur dialek Kantonis manakala Persatuan Hokien pula dianggotai oleh ahli dari wilayah tersebut dan berkomunikasi dalam dialek Hokien . Manakala Hua Tuan yang berlandaskan nama keluarga ( surname ) hanya disertai oleh mereka yang mewarisi nama keluarga yang sama seperti Kongsi Tan, Kongsi Lim dan Kongsi Wong . Ia dipercayai mereka yang mempunyai nama keluarga yang sama itu, mempunyai ikatan kekeluargaan. Selain daripada itu, wujud juga persatuan-persatuan agama, kebajikan, pendidikan dan hiburan yang terbuka kepada semua orang Cina tanpa mengira suku kaum, keturunan mahupun status individu berkenaan.

Saudagar-saudagar Cina pula, membentuk Chinese Chambers Of Commerce
( CCC ) yang bertujuan untuk memperjuangkan serta menjaga kepentingan ekonomi ahlinya. Ia diperkenalkan oleh para pegawai Manchu untuk mempromosikan dagangan serta semangat nasionalisme di kalangan Orang Cina Seberang Laut yang dikenali sebagai ‘ hua chiao’ . Pada tahun 1906, CCC Singapura terbentuk dan ia disusuli dengan pembentukan CCC di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Ipoh dan Serembann . Antara CCC yang paling menonjol dan wujud sehingga ke hari ini ialah Dewan Perniagaan Cina Selangor dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia.

Secara kesimpulannya Hua Tuan dilihat memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak serta mempertahankan kepentingan masyarakat Cina dalam aspek politik, ekonomi, sosial, bahasa, kebudayaan dan pendidikan masyarakat Cina di Tanah Melayu.

PERKEMBANGAN GERAKAN POLITIK

Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, semangat nasionalisme yang mempunyai pengaruh yang kuat di Tanah Melayu hadir daripada masyarakat Cina. Di mana terdapat golongan saudagar yang telah menyumbang kepada revolusi 1911 di China. Lantaran itu, kesedaran politik di Tanah Melayu dipelopori oleh komuniti Cina. Mereka juga dikatakan terawal dalam pembentukan parti politik di Tanah Melayu .

Secara umumnya perkembangan politik orang Cina di Tanah Melayu boleh dibahagikan kepada tiga tahap yang utama iaitu perkembangan awal dari 1900-1941, semasa Perang Dunia Kedua dari 1942-1945 dan era tamatnya Perang Dunia Kedua dari 1945-1950. Ia telah memperlihatkan perubahan drastik dalam matlamat perjuangan parti-parti politik komuniti Cina di Tanah Melayu.



PERKEMBANGAN AWAL 1900-1941

Secara umumnya sebelum Perang Dunia Kedua, kesedaran politik orang Cina di Tanah Melayu tertumpu kepada pergolakan politik di Negara China. Di mana majoriti daripada mereka masih menganggap China sebagai tanah air mereka. Kedatangan mereka ke Tanah Melayu adalah bermotifkan ekonomi semata-mata dan mereka tidak bercadang untuk menetap di sini untuk selama-lamanya.

Namun begitu, terdapat satu golongan yang tidak tertarik dengan perkembangan di China iaitu orang Cina Peranakan. Mereka merupakan golongan Cina yang dilahirkan di Negeri-negeri Selat yang melibatkan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Golongan ini yang menjadi rakyat British telah melibatkan diri dalam perkembangan politik tempatan. Mereka telah menubuhkan Straits Born Chinese British Association ( SCBA ) di Singapura dan Melaka pada tahun 1900 dan dipimpin oleh Tan Jiak Kim, lim Boon Keng, Song Ong Siang dan Seah Ling Seah . Tujuan SCBA ialah untuk memperkukuhkan kebudayaan Cina dan mengekalkan identiti Baba Peranakan. Antara tokoh-tokoh SCBA yang berkaliber adalah seperti Tan Cheng Lok, Dr. Lim Boon Keng, Song Ong Siang, Han Hoe Lim dan Lim Chong Ean yang telah dilantik oleh British bagi berkhidmat di dalm Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat. Kesempatan ini telah digunakan oleh tokoh-tokoh berkenaan dalam memperjuangkan hak politik dan mendesak perubahan dalam sisitem pendidikan Cina . Di samping itu, Tan Cheng Lok, pemimpin SCBA Melaka turut memainkan peranan penting dalam penubuhan MCA dan telah menerajui dari tahun 1949-1958 . Namun begitu, pengaruh SCBA ke atas masyarakat Cina agak terbatas di mana pada tahun 1931 ia hanya mempunyai keahlian seramai 1,060 orang sahaja .

Kekalahan Negara China dalam Perang China-Jepun 1894-1895 telah menimbulkan perasaan marah orang Cina di Seberang Laut. Masyarakat Cina berasa malu dan terhina lantaran daripada kekalahan itu. Di mana China terpaksa menandatangani Perjanjian Shimonoseki pada tahun 1895 yang menyaksikan penyerahan Farmosa kepada Jepun . Kekalahan kepada Jepun yang sebelum ini dianggap ‘wojen’
(kerdil) menyedarkan masyarakat Cina tentang perlunya usaha-usaha bagi menyelamatkan kegemilangan Negara China . Pada tahun 1897, seramai lapan belas orang Cina Melaka telah berkumpul di Johor dan menubuhkan Persatuan Lapan Belas Kawan dan ia dipimpin Sim Hong Pak, seorang pedagang kaya dari Melaka .

Perkembangan politik awal masyarakat Cina banyak dipengaruhi oleh Gerakan Pembaharuan di China. Gerakan ini dipimpin oleh Kang Yu Wei telah memperkenalkan Rancangan Pembaharuan 100 hari dengan persetujuan Maharaja Kuang-hsu . Ia menemui kegagalan dan berakhir apabila Maharaja Kuang-hsu mangkat pada 1908 . Pada abad kedua puluh, gerakan revolusioner di China turut mempengaruhi kegiatan politik orang Cina di Tanah Melayu. Di mana pemimpinnya Sun Yat Sen, telah melihat potensi orang Cina Seberang Laut sebagai pengerak kepada revolusi di China. Pada tahun 1905, Sun Yat Sen menubuhkan Tung Meng Hui yang merupakan gabungan Hsing Chung Hui dengan golongan anti Manchu yang lain . Sun Yat Sen telah melawat Singapura pada tahun 1906 dan menubuhkan cawangan Tung Meng Hui di sana dan cawangan-cawangan yang lain telah ditubuhkan di Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Kampar, Kuantan, Taiping dan Ipoh . Kaum Cina di Tanah Melayu telah memberi sokongan kepada penubuhan itu dengan terlibat dalam penyediaan bantuan material, kewangan dan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bersifat propaganda untuk memberansangkan semangat nasionalisme orang Cina di Tanah Melayu.

Selepas pembentukan Republik China, Tung Meng Hui telah disusun semula sebagai Parti Kuomintang ( KMT ) pada tahun 1912. Ia bertujuan untuk menyatukan Negara China dan mengukuhkannya melalui perindustrian dan modenisasi. Orang Cina Seberang Laut dilihat sebagai sumber kewangan utama dalam memodenisasikan China. Oleh itu, cawangan-cawangan Kuomintang telah ditubuhkan di Tanah Melayu dan juga Singapura. Pihak British yang menganggap parti ini bersifat sederhana telah bersetuju untuk membenarkannya bergerak secara sah di Tanah Melayu . Menjelang tahun 1913 sebanyak 30 cawangan ditubuhkan di Tanah Melayu dan ia dilihat membantu dalam menggerakkan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat Cina di Tanah Melayu. Melalui Kuomintang, ia cuba memperjuangkan nasib masyarakat Cina melalui pendidikan, di mana pada tahun 1920, sebuah sekolah Cina telah menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar bagi menggantikan penggunaan dialek di sekolah . Ia selaras dengan perkembangan di Negara China yang menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi negara. Penggunaan satu bahasa yang standard di kalangan masyarakat Cina bukan sahaja mampu menyatukan padukan suku-suku Cina yang berbeza tetapi juga berjaya melahirkan semangat kekitaan masyarakat Cian di Tanah Melayu. Ini secara tidak langsung membantu dalam perkembangan semangat nasionalisme orang Cina.

Pada tahun 1923, Sun Yat Sen telah menerima kemasukkan ahli-ahli komunis China ( CCP ) sebagai ahli perseorangan dalam KMT sebagai syarat untuk mendapat bantuan Soviet bagi menyatukan China yang berpecah-belah . Mulai dari ketika itu, ramai ahli-ahli komunis China telah menyertai KMT sebagai ahli perseorangan dan mewujudkan golongan haluan kiri dalam KMT. Mereka yang ‘bertopengkan’ KMT telah bergerak secara rahsia di dalam KMT Tanah Melayu. Pihak komunis China dalam KMT telah melancarkan permogokan dan kegiatan anti British di Tanah Melayu. Lantaran itu, KMT telah diharamkan pada tahun 1925. Pembubaran Perikatan KMT-PKC pada tahun 1927 mengakibatkan PKC bergerak bersendirian dalam kegiatan-kegiatan subversifnya. Parti Komunis Nanyang telah ditubuhkan pada tahun 1928 namun ia gagal melaksanakan misinya di Tanah Melayu. Akhirnya tugas Parti Komunis Nanyang dalam penyebaran idelogi komunis telah diambil alih oleh Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada April 1930 .

Parti Komunis Malaya ( PKM ) ditubuhkan pada 1930 dianggap sebagai bermulanya kegiatan politik berparti di Semenanjung Malaysia. Ia berhasrat untuk mengguling kerajaan British dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Fahaman komunis telah menyusup ke dalam pertubuhan-pertubuhan buruh, kesatuan sekerja dan sekolah malam.

PKM telah melancarkan mogok dan kegiatan anti British dalam usahanya melumpuhkan kegiatan ekonomi Tanah Melayu. Pada tahun 1937-1938, mogok secara berleluasa tercetus di negeri-negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Johor . Peristiwa pemogokan yang paling hebat berlaku di Batu Arang, Selangor yang melibatkan 6000 pekerja lombong. Peristiwa itu mengakibatkan ramai pemimpin kesatuan dan komunis ditangkap dan dihantar balik ke China.

Serangan Jepun ke atas China pada 1937 telah meningkatkan lagi perasaan anti Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. PKM telah mengambil kesempatan ini untuk memperkuatkan dirinya dengan meniup semangat kecinaan. Ia telah mengumpul wang bagi membiayai peperangan di China di samping bekerjasama dengan British . Taktik PKM ternyata berjaya mendapat minat serta sokongan orang Cina dan menjelang tahun 1939, PKM mempunyai keahlian seramai 37,000 di Singapura dan Tanah Melayu.

PERANG DUNIA KEDUA 1942-1945

Era kegemilangan PKM muncul disekitar tahun 1942-1945, di mana ia bekerjasama dengan Inggeris bagi menentang Jepun. Kerajaan British telah menyediakan latihan yang berbentuk gerila di samping membekalkan PKM dengan bantuan senjata, makanan, perubatan serta kewangan.

PKM telah berundur ke hutan dan membentuk MPAJA bagi menentang Jepun secara gerila. Melalui propandaganda yang berasaskan nasionalisme Cina, PKM berjaya mendapat sokongan daripada masyarakat Cina yang menderita di bawah pemerintahan Jepun. Ia merupakan satu kemenangan psikologi bagi perjuangan PKM.




SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Pengorbanan PKM semasa Perang Dunia Kedua, dilihat berhasil apabila ia diiktiraf sebagai parti yang sah oleh kerajaan Inggeris pada tahun 1945. Pada peringkat awal, PKM cuba mengambil alih kuasa melalui perlembagaan dengan membentuk perikatan dengan parti-parti politik yang berhaluan kiri. Di samping menyusup ke dalam persatuan sekerja dan menguatkan cengkamannya ke atas sekolah persendirian . Pada tahun 1947, PKM telah melancarkan kira-kira 300 pemogokan untuk melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu dan Inggeris telah mengenalkan undang-undang baru bagi mengawal kegiatan kesatuan sekerja bagi menangani ancaman PKM. Tindakan ini menyekat pergerakan kegiatan PKM dan pertukaran pucuk pimpinan daripada Lai Teck ke Chin Peng pada Mac 1946, telah mengubah taktik perjuangan PKM yang melancarkan pemberontakan bersenjata pada Jun 1948 . Tindakan itu akhirnya membawa kepada pengharaman PKM dan darurat diisytiharkan pada 18 Jun 1948 di seluruh Tanah Melayu.

Parti Malayan Chinese Association ( MCA ) diasaskan pada 27 Februari 1949 . Ia ditubuhkan bagi menghadapi ancaman komunis dan British mengalu-alukan penubuhan MCA kerana ia dilihat mampu membantu British menentang PKM dengan lebih berkesan lagi. MCA diasaskan oleh beberapa tokoh masyarakat Cina termasuklah H.S. Lee, Leong Yew Koh, Yong Shook Lim, Khoo Teik Ee dan Tan Siew Sin . Manakala presiden pertama MCA ialah Tan Cheng Lock yang menerajui parti tersebut dari 1949-1958.

Objektif perjuangan MCA jelas iaitu melindungi kepentingan politik kaum Cina di Tanah Melayu dan bekerjasama dengan British bagi menentang ancaman komunis. Selain itu, MCA juga lantang dalam memperjuangkan taraf kerakyatan bagi orang Cina
di Tanah Melayu. Menjelang akhir tahun 1949, bilangan ahli MCA telah meningkat kepada 100,000 ahli dan 180,000 ahli pada akhir tahun 1951 .

MCA merupakan sebuah parti orang Cina yang berhaluan kanan dan bersedia untuk bekerjasama dengan parti kaum lain bagi mencapai kemerdekaan di Tanah Melayu. Ia terbukti pada 3 Februari 1953, di mana Parti Perikatan UMNO-MCA terbentuk bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama pada tahun 1955.

IMIGRAN INDIA DI TANAH MELAYU

Kehadiran imigran India ke Tanah Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama berlaku disekitar awal tahun masihi, di mana hubungan negeri Kedah dan India yang akrab menyaksikan kedatangan pedagang dan tukang dari India . Manakala peringkat kedua bermula pada abad 13 dan 14 apabila para pedagang India yang beragama Islam khususunya dari Bengal, Coromandel dan Gujerat datang berdagang menyebarkan ajaran Islam .

Trend kemasukkan orang India berubah pada peringkat ketiga iaitu mulai abad ke 19. Ini kerana kedatangan orang India ketika itu, tidak lagi tertumpu kepada golongan pedagang, tukang, brahim atau ulama sahaja. Ia merangkumi pelbagai lapisan masyarakat India di mana pengunduran Inggeris dari Sumatera pada tahun 1820 telah mengakibatkan kebanjiran tawanan India di Negeri-negeri Selat. Mereka telah digunakan untuk kerja-kerja pembinaan bangunan dan jalan raya . Menjelang 1840-1880, pembukaan ladang tebu di Province Wellesley dan ladang getah menyaksikan kedatangan orang India secara besar-besaran . Menjelang tahun 1910-1921, bilangan kedatang orang India ke Tanah Melayu adalah seramai 100,000 orang setiap tahun .

GERAKAN SOSIAL

Sejak tahun 1800 lagi, orang India telah pun menubuhkan beberapa organisasi yang bercorak sosial bagi tujuan menjaga kepentingan orang India di Tanah Melayu. Ia tidak bersifat politik kerana kedatangan mereka dilihat semata-mata untuk mencari nafkah dan kurang memberi perhatian kepada aspek nasionalisme.

Persatuan India yang bercorak sosial telah ditubuhkan di Tanah Melayu pada 1906 dengan munculnya Persatuan India Taiping dan kemudian diikuti oleh Persatuan India Selangor pada tahun 1907 . Kedua-dua ini telah menjadi pencetus kepada tertubuhnya beberapa persatuan India yang lain seperti Persatuan India Kinta, persatuan India Melaka dan Persatuan India Negeri Sembilan . Persatuan-persatuan ini didokong oleh saugagar-saudagar, golongan profesional, dan kakitangan kerajaan yang ‘celik’ dan menetap di kawasan bandar. Melalui persatuan-persatuan ini, beberapa isu orang India telah diperjuangkan dan ia termasuk masalah imigrasi, upah buruh, tempat kediaman dan minuman todi.

GERAKAN POLITIK

Kesedaran politik di kalangan orang India di Tanah Melayu berkembang agak perlahan. Ini memandangkan kebanyakkan imigran yang datang terdiri daripada golongan yang buta huruf dan bekerja sebagai buruh dan pekerja estet.

Pengaruh kepada gerakan politik di kalangan masyarakat India Tanah Melayu boleh dilihat daripada 2 sudut. Pertama melalui pengaruh dari agen kerajaan India yang dilantik pada 1923 bagi tujuan menjaga kebajikan pekerja India di Tanah Melayu . Agen yang berkhidmat di bawah Jabatan Buruh Malaya ini, diberi kuasa untuk melawat estet-estet untuk mengetahui keadaan tempat kerja, kemudahan yang disediakan dan mendengar rungutan masalah-masalah yang dihadapi orang India di estet. Secara tidak langsung, agen ini bertindak sebagai wakil kerajaan India dan memperjuangkan nasib para pekerja estet yang majoritinya orang India. Peranannya sebagai pembela kepada orang India secara tidak langsung menabur semangat nasionalisme di kalangan orang India estet.

Penerbitan akhbar India di sekitar tahun 1952 telah membantu dalam penyebaran semangat nasionalisme di kalangan masyarakat India. Ia memaparkan perkembangan politik di India dan sedikit sebanyak menimbulkan minat orang India terhadap perkembangan politik di India dan menyemai perasaan nasionalisme di kalanagan masyarakat India di Tanah Melayu .

SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA

Manifestasi kegiatan politik orang India sebelum akhir tahun 1920 dan 1930 adalah melalui pergerakan Gadhar dan Kalifhat . Gadhar merupakan satu gerakan politik di kalangan orang Sikh dan ia bermula di Washington pada tahun 1913 dan mendapat sambutan di India dan Tanah Melayu khususnya di Perlis dan Kedah . Manakala gerakan Kalifhat pula dipimpin oleh Mohammed dan Shaukat Ali dilihat sebagai gerakan anti British . Perasaan anti British ini telah membawa kepada tercetusnya Dahagi di Singapura pada 1915 dan melibatkan askar India yang beragama Islam .

Lawatan Nehru ke Tanah melayu pada 1937 membawa kepada pembentukan Central India Association Of Malaya ( CIAM ) . Ia merupakan satu-satu parti politik India di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua dan CIAM dianggotai oleh 12 persatuan negeri, 4 dewan perniagaan India . Ia dilihat sebagai titik tolak kepada gerakan politik orang India di Tanah Melayu dan telah giat memperjuangkan nasib golongan buruh untuk perbaiki taraf hidup dan ekonomi orang India di Tanah melayu.

SEMASA PERANG DUNIA KEDUA

Semasa pendudukan Jepun, perjuangan kebangsaan Orang India tertumpu kepada negara India. Pihak Jepun memberi semangat kepada orang India di Tanah Melayu untuk bersatu dalam memperjuangkan kemerdekaan India dari Inggeris .
Ia menyaksikan penubuhan Liga kemerdekaan India ( IIL ) pada tahun 1934 manakala Pasukan Tentera Nasional India ( INA ) pula ditubuhkan dengan kerjasama Jepun dan Kolonel Mohan Singh dan ia mempunyai kekuatan 16,000 tentera menjelang akhit tahun 1942 . Selain itu, Chandra Bose, seorang pelarian politik telah menubuhkan kerajaan Azad ( India Bebas ) di Singapura pada Oktober 1943 . Ia telah memberi nafas baru kepada kemerdekaan India dan slogan ‘Chalo Delhi’ yang bermakna ‘ Mara ke Delhi’ digunakan bagi meniup semangat nasionalisme di kalangan orang India di Tanah Melayu ke arah pembentukan negara India yang merdeka .

Perang Dunia Kedua memperlihatkan semangat nasionalisme oaring India Tanah Melayu yang tinggi. Kegiatan Liga Kemerdekaan India, Tentera Kebangsaan India dan kerajaan Azad Hind berjaya menarik minat orang India Tanah Melayu terhadap perkembangan politik yang berkiblatkan negara India.

SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Perjuangan orang India Tanah Melayu mulai berorentasikan Tanah Melayu dengan tertubuhnya Malayan Indian Congress ( MIC ). Ia ditubuhkan pada 8 Ogos 1946 dan presiden pertamanya ialah John Thivy . Tujuan utama MIC ialah memupuk dan memelihara kepentingan politik, sosial dan ekonomi kaum India di Tanah Melayu . Ia turut memperjuangkan kemajuan politik bersama-sama kaum yang lain di Tanah Melayu.

MIC mulai memperlihatkan kematangan dalam politik pada tahun 1946 apabila ia menyertai AMCJA bagi memperjuangkan sebuah negara yang merdeka. Pada tahun 1954 pula, ia menyertai Parti Perikatan UMNO-MCA dan telah bertanding dalam pilihanraya 1955 atas tiket Perikatan. Hari ini MIC, merupakan parti politik orang India yang utama dan berjaya memelihara kepentingan masyarakat India di Tanah Melayu.

KESIMPULAN

Kemunculan kuasa Barat khususnya British telah menyaksikan perubahan demografi di Tanah Melayu. Ia menyaksikan kebanjiran imigran dari China dan India yang seterusnya membawa kepada pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia. Namun begitu, ia telah memperlihatkan tahap serta senario perkembangan di kalangan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang agak berbeza.

Kehadiran imigran Cina dan India telah dilihat sebagai ancaman kepada kesinambungan masyarakat Melayu. Ini seterusnya membawa kepada gerakan nasionalisme di kalangan orang Melayu. Ia bermula dengan gerakan sosial dan bertujuan untuk melindungi kepentingan ekonomi orang Melayu di samping memupuk kesedaran tentang perlunya pendidikan untuk memajukan bangsa. Perang Dunia Kedua yang tercetus disekitar tahun 1940an telah menyaksikan kemunculan gerakan politik Melayu seperti KRIS, Kesatuan Melayu Muda serta PETA yang berusaha untuk membawa orang Melayu keluar dari kongkongan penjajah. Ia sememangnya satu pengalaman yang begitu bernilai bagi orang Melayu dan ia terbukti dalam perjuangan masyarakat tersebut dalam menentang Malayan Union serta perjuangan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.


Masyarakat Cina dan India yang berhijrah ke Tanah Melayu atas faktor ekonomi pula dilihat kurang mengambil tahu perkembangan Tanah Melayu. Kehadiran mereka untuk mencari nafkah dan masih setia kepada negara masing-masing dilihat sebagai punca gerakan nasionalime di kalangan orang cina dan India yang agak perlahan berbanding orang Melayu. Masyarakat pendatang berkenaan dilihat lebih berminat dengan perkembangan di negara asal dan gerakan-gerakan awal dilihat lebih bersifat sosial dan ekonomi semata-mata. Namun demikian, ia mula perlihatkan perbezaan yang ketara selepas Perang Dunia Kedua, masyarakat Cina dan India mula memberi tumpuan terhadap perkembangan di Tanah Melayu. Mereka turut terlibat dalam gerakan yang bermotifkan politik lokal dalam usaha melindungi kepentingan masayarakat masing-masing.

Perkembangan tersebut telah memulakan satu lembaran baru dalam sejarah negara. Di mana telah memperlihatkan kerjasama antara kaum dalam usaha mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Walaupun ia berjaya membuahkan hasil namun proses ke arah itu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia banyak melibatkan pengorbanan, tolak ansur serta keyakinan yang tidak berbelah bagi antara kaum.



2 comments:

KAMUS FREE